Tika ini, konsep halal dan haram dalam Islam tidak lagi menjadi pegangan bagi
setiap muslimin dan muslimat. Anak-anak muda berlainan jantina kelihatan
sering berdua-duaan. Langsung tidak ada perasaan malu atau terfikirkan salah atau
tidak tindakan mereka berdua-duaan, padahal dalam berdua-duaan pasti ada orang yang
ketiga. Bagi mereka mungkin tindakan mereka tidak salah kerana masih berada di khalayak ramai dan di tempat terbuka. Namun, sejauh manakah peranan orang ketiga bila berdua-duaan dengan lamanya di suatu tempat walaupun di kawasan terbuka?
Inilah masalah yang melanda golongan belia kini. Pendidikan Islam yang
diajarkan semasa di alam persekolahan hanya diingat semasa hendak peperiksaan, setelah itu, pelajaran tersebut dilupakan dan tidak dikaji lebih mendalam, maka di
sini wujudlah pelbagai dosa kecil dan besar di kalangan belia. Pemahaman mereka
bahawa berdua-duaan tanpa berpegangan tangan atau berpeluk cium masih dikira
perbuatan yang tidak salah dari segi agama. Padahal detik pertemuan dan
meluahkan perbualan yang mengundang perasaan cinta dan rindu itu merupakan
satu zina. Malangnya, ramai belia yang tidak faham, dan ada juga segelintir yang tahu tetapi buat-buat tidak tahu. Yang lebih sedihnya bila ada daripada golongan
belia ini yang ibu atau ayahnya adalah ustazah atau ustaz. Kalau mak atau ayah
yang ustaz atau ustazah dapat menyampaikan ceramah agama atau dakwah kepada
orang lain, kenapa anak-anak masih dibiarkan bergelumang dengan dosa?
Pernah satu ketika dulu saya menegurkan mak saudara saya kerana membiarkan anak gadisnya keluar dengan teman lelakinya, kita tidak tahu apa yang berlaku, cuma berniat untuk mengelakkan daripada sama bersubahat. Malangnya, jawapan yang saya perolehi adalah " Mereka tidak pergi mana pun, di sekolah juga". Tersentak saya dengan pernyataan mak saudara saya yang juga merupakan seorang ustazah. Sepatutnya beliau menegurkan tingkah laku anak gadisnya dan menasihati anak gadisnya tentang pergaulan berlainan jantina. Ekoran daripada sikap mak saudara saya itu, akhirnya anak gadisnya telah menconteng arang dimukanya sendiri.Selepas hal tersebut mak saudara saya berasa amat malu untuk bersemuka dengan saya.
Saya berasa amat sedih dengan muslimah khususnya pada masa kini. Teringat
sewaktu cuti semester, ramai pelajar akan berpusu-pusu pulang ke kampung masing-masing. Di kala inilah, perhatian saya sering tertumpu pada pasangan kekasih, di mana sebelum berpisah si wanita akan mencium tangan si lelaki dan si lelaki akan menghadiakan pula ciuman di dahi siwanita. Perbuatan tersebut ternyata salah, tetapi dibetulkan oleh mereka. Tanpa segan silu akan berpelukan pula di khalayak ramai, sungguh memilukan. Semakin runtuhnya akhlak muda-mudi Islam pada masa kini. Kerana kurangnya pengetahuan tentang agama, kerana kurangnya pengetahuan tentang halal dan haram, maka semakin runtuhlah akhlak muda-mudi Islam. Kadang kala saya berasa sedih dan tidak terdaya untuk menegurkan tingkah laku yang tidak sepatutnya berlaku di depan mata. Saya hanya mampu beristighfar dan membayangkan bagaimanakah akhlak muda-mudi pada masa akan datang? Adakah semakin pulih? Atau ianya akan menjadi semakin teruk? Sama-samalah kita renungkan dan banyakkanlah bermuhasabah diri.
No comments:
Post a Comment