Artikel dari sayangislam.com
Saya rasa terpanggil lagi untuk bercerita tentang pengalaman pakai purdah setelah melihat perkataan carian mengenai PURDAH adalah yang tertinggi setakat ini dalam blog saya. Saya akan bercerita mengenai pengalaman sahaja dan tidak bermaksud mengemukakan hujjah ilmiah secara terperinci. Dalam entri bertajuk ‘Kenapa Tutup Muka?’ sebelum ini telah dimaklumkan bahawa saya kurang berminat berbincang tentang perkara khilaf. Keutamaan saya ialah perkara prinsip-prinsip asas dalam Islam. Perkara khilaf saya akan sentuh bila ada pertanyaan. Justeru, saya akan bercerita sedikit demi sedikit mengenai pengalaman memakai purdah untuk mereka yang mahu mengetahuinya. Saya cuba mengelak berbincang tentang perbahasan fuqaha’ tentang hukum memakainya. Perbincangan tersebut boleh didapati di dalam kitab-kitab tafsir dan sebagainya. Sudah tentu saya sayangkan para wanita semua. Lebih-lebih lagi kepada yang sedang pulang kepada Tuhan. Saya harap apa yang baik dijadikan panduan. Apa yang kurang baik dijadikan sempadan. Nasihatilah saya dan berikan alternatif di atas kesilapan saya. Allah jua sebaik-baik pemberi balasan. Kisah pertama saya ceritakan dalam entri bertajuk ‘Purdah: Satu Pengalaman’. Kisah kedua ‘Kenapa Tutup Muka?’. Kali ini kisah ketiga pula.
PENGARUH PURDAH
Pengaruh pertama yang melanda diri ialah kakak-kakak di sekolah yang agak ramai memakai purdah waktu itu. Wajah mereka berseri dengan cahaya zikrullah dan taat padaNya. Akhlak mereka juga baik memikat. Walaupun ramai juga kakak yang tidak memakai purdah yang berakhlak mulia namun hati lebih tertarik dengan pemakai purdah. Tambahan pula, mereka yang tidak memakai purdah sebenarnya berhasrat untuk memakainya namun keadaan tidak mengizinkan. Pelajar berpurdah tidak akan memakai purdah di kawasan sekolah yang mana sekolah turut dihuni guru-guru lelaki dan pakcik tukang kebun. Bila ada pengunjung atau tetamu lelaki dari luar baru mereka mengenakan purdah. Pengaruh jemaah al-Arqam pula waktu itu sangat kuat. Jemaah muslimah al-Arqam semua memakai niqab (purdah) berwarna hitam atau gelap. Saya melanggan majalah mereka dan masih menyimpannya sehingga sekarang.
Sekelompok muslimah lagi yang berpurdah ialah yang belajar di Pondok Kg Kasar. Ia diasaskan oleh Ustaz Muhammad ‘Uthman el-Muhammady. Pondok di Kg Kasa khusus untuk muslimah. Pondok untuk muslimin di kampung sebelah iaitu Kg Tal Tujoh.
Saya pernah menghadiri kuliah di Pondok Kg Kasa di hujung minggu. Muslimah di sana memakai abaya hitam sama seperti abaya muslimah di Arab Saudi. Kali pertama menghadiri kuliah, saya yang sudah memakai jubah waktu itu terpegun melihat wajah-wajah di sebalik abaya hitam. Ada kawasan khas untuk mereka menyangkut abaya. Mungkin kerana itu majlis ilmu, di dalam abaya mereka memakai sepasang kurung berwarna-warni dan berbunga serta tudung kecil (tudung tiga segi- sebagaimana panggilan umum).
Kebanyakan mereka masih remaja. Masya Allah, wajah mereka berseri-seri penuh ketenangan dan penuh senyuman mesra. Ramai juga berwajah jelita. Namun yang tidak jelita pun, hati tetap senang memandangnya. Iya… justeru mereka mengamalkan zikir yang tetap juga menjaga ibadah yang wajib yang lain. Mereka datang dari pelbagai negeri di Malaysia. Aduh… jika hati saya yang juga gadis seperti mereka boleh terpegun. Saya tidak tahu jika kaum lelaki yang melihatnya. Saya berusia kira-kira 14 atau 15 tahun waktu itu. Allah memelihara kesucian dan maruah mereka dari pandangan nafsu lelaki ajnabi. Alhamdulillah. Moga mereka yang saya lihat waktu itu masih istiqamah di jalan Allah. Melihatkan kakak-kakak memakai purdah dan muslimah Arqam memakai purdah, saya tertanya-tanya kenapa ada wanita berpurdah dan kenapa ada yang tidak. Walaupun hati tertarik namun saya tidak akan lakukan sesuatu perkara kerana ikutan/taqlid membabi buta sama ada pada individu mahu pun jemaah. Tabiat saya suka mencari sebab-musabbab dan hujjah yang wajar.
HARI PERTAMA DENGAN PURDAH
Kali pertama saya memakai purdah ialah semasa pra universiti di Akademi Islam, Universiti Malaya, Nilam Puri [AIUM]. Saya mengambil keputusan memakai purdah setelah membuat kajian lebih kurang 4 tahun yakni sejak tingkatan Dua di Maahad Muhammadi Perempuan [MMP]. Berdasarkan kajian taraf ‘budak sekolah menengah’ itulah, saya membuat keputusan memakainya. Ia tidak lain semata-mata kerana mahu mendekatkan diri kepada Allah. Hari pertama memakainya ialah hari pertama saya perlu hadir ke kelas yang ada pelajar lelaki di dalamnya. Hari itu juga merupakan hari pertama kelas bermula di AIUM [Sekarang disebut APIUM] bagi sesi 1992/93. Secara ringkasnya, penting bagi saya mengekalkan rasa malu sebagai gadis Islam. Saya ini jenis peramah. Keluarga saya semuanya begitu. Justeru bila pakai purdah, saya terpaksa kawal sikit sifat peramah saya terutama dengan pelajar lelaki.
Hampir 7 tahun di MMP, saya selesa dan memang sangat selesa serta tenang belajar di sekolah perempuan sahaja. Jadi seboleh-bolehnya, saya mahu kekal dalam rasa tenang dan selesa itu walau di mana saya berada.
Saya memakai purdah bukan kerana saya cantik atau merasa diri cantik. Jauh sekali. Saya hanya gadis Melayu biasa-biasa. Saya memakainya kerana mahu menyolek hati agar lebih cantik. Namun…ahh… ramai lelaki atau perempuan sendiri menganggap wanita berpurdah ini kerana dia cantik atau merasa diri cantik. Hakikatnya bukan semua begitu. Cantik itu subjektif sifatnya. Ia bergantung pada mata yang memandang dan citarasa seseorang yang Allah jadikan tidak sama. Implikasi persepsi tersebut, bila mereka berpeluang melihat wajah wanita berpurdah dan didapati tidak secantik yang dibayangkan, mereka mula mengutuk atau hati mereka mula didatangi mazmumah mengeji wanita itu. Salah mereka sendiri. Tidak ada siapa yang suruh kita bayangkan apa-apa yang sudah disembunyikan. Ia juga satu khayalan sia-sia yang tidak akan menambah pahala. Sebaliknya menambah dosa mengeji kejadian Allah yang tidak dapat diubah yakni wajah. Allah menilai hati dan akhlak. Jika kita menilai bukan menurut neraca Allah, kita sengaja mengundang murkaNya. Na’uzubillah. Bagi wanita yang tidak cantik, usahlah bersedih. Allah buka peluang untuk kita memburu syurgaNya dengan agama yang mampu diusahakan, bukan dengan rupa paras yang sudah ditetapkan oleh Allah. Pedulikan nilaian mereka yang negatif kerana syurga itu bukan milik mereka. Mereka juga tidak mampu memberi bahagia atau derita walau sebesar zarah tanpa izin Allah swt. Marilah kita make-up wajah kita di akhirat dengan mengamalkan agama sepenuhnya di dunia ini, dengan izin Allah jua. Kelak kita akan lihat, siapakah yang cantik dan siapakah yang buruk di akhirat sana. Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami di atas agamaMu. Secara peribadi, saya memakai purdah kerana merasa tenang dan selesa dengannya. Oh ya… sudah tentu pada hari pertama memakainya, saya merasa rimas dan tidak selesa bernafas. Alah bisa tegal biasa. Lama-lama saya boleh menyesuaikan diri dengannya. Alhamdulillah. Bagi muslimah yang baru belajar memakainya, pilih jenis kain yang tidak panas dan tenunannya tidak rapat/padat untuk dijadikan purdah.
AIR MATA SUKARELA MENGALIR KELUAR
Saya masih teringat satu kenangan indah pada hari pertama saya memakai purdah. Waktu itu saya akan keluar dari Asrama al-Malik Khalid untuk hadir ke kelas pertama. Seminggu sebelumnya kami menjalani minggu orientasi yang Islami kerana program untuk siswa dan siswi diasingkan. Kami hanya berkumpul semasa acara dewan seperti ceramah atau kuliah umum. Bagi acara dewan, saya masih boleh mengelak dari bertembung dengan pelajar lelaki kerana pelajar lelaki biasanya memenuhi dewan terlebih dahulu dan duduk di barisan hadapan. Jadi saya dan rakan-rakan yang datang kemudian akan masuk dari pintu belakang dan duduk di barisan belakang. Selesai acara, kami akan keluar dahulu sebelum pelajar lelaki bersurai dari barisan hadapan. Alhamdulillah, kami sungguh bertuah diizinkan ALlah berada dalam program orientasi yang diberkati, insya Allah. Tiada pergaulan bebas dan tiada siswi yang mendedahkan aurat. Kembali kepada kenangan indah tadi, sebaik saya mengenakan purdah di wajah, air mata keluar tanpa dapat ditahan-tahan. Saya tidak tahu kenapa dan mengapa. Seorang sahabat saya yang agak terperanjat melihat saya mengenakan purdah menegur, “Kenapa Nur?”. Dia juga hairan melihat saya menangis. Pada masa itu satu perasaan yang mengalir tenang memenuhi seluruh lubuk hati menyentap rasa sayu nan syahdu. Satu perasaan yang tidak dapat dimiliki kecuali dari Allah swt. Apakah saya memakainya benar-benar kerana Allah? Saya terpaksa mengambil sedikit masa untuk meredakan tangisan dan menenangkan diri semula. Kemudian baru mampu melangkah keluar menuju dewan kuliah. Sampai ke hari ini, bila terkenang perasaan yang mengalir semasa kali pertama mengenakan purdah, saya masih hairan, kenapa dan mengapa? Dalam situasi majoriti masyarakat tidak menyukai purdah bahkan ramai juga yang prejudis, Allah campakkan sesuatu ke dalam hati yang tidak mampu dibeli dengan wang berjuta. Cukuplah Allah bagi diri saya. Baiknya saya kerana menumpang rahmat Ilahi. Buruknya saya kerana lalai dari mengingatiNya. Juga kerana fitrah saya sebagai manusia biasa yang dikelilingi kelemahan. Saya yakin dan percaya pada rahmat Allah. Saya sentiasa berharap keampunanNya setiap kali melakukan kesilapan. Biarlah manusia mahu mencerca dan menilik keaiban dan kesalahan saya, hakikat yang Maha Pengampun adalah Allah jua.
KETENANGAN BAGI WANITA ADALAH RUMAHNYA
Allah berkata tabi’ie wanita itu berada di rumah dan ketenangan bagi wanita itu adalah rumahnya (Al-Ahzab;33). Apabila disebut rumah, sifat sebuah rumah itu melindungi ahlinya dari pandangan orang awam. Rumah juga adalah satu institusi yang memelihara nilai ‘privasi’ bagi wanita. Namun bukan selama-lamanya wanita betah berada di rumah. Ada keadaan yang memerlukan mereka keluar rumah untuk memenuhi keperluan atau bermusafir melihat bumi Allah. Mutakhir ini, tuntutan dakwah dan jihad turut memanggil para muslimah untuk berjuang menurut cara yang sesuai dengan mereka. Dasar fiqh Islami sememangnya begitu. Fiqh Islami mempunyai prinsip asas namun bersifat anjal dalam perlaksanaannya. Ia mudah dan tidak membebankan jika kita memahami serta menguasai ilmu fiqh. Sebagai gadis atau anak dara waktu itu, setiap kali mahu keluar rumah, saya berfikir untuk menjaga ‘privasi’ agar tidak dikenali umum. Satu-satunya alternatif yang ada ialah memakai purdah.
Saya tidak bermaksud memanjangkan perbahasan mengenainya di sini. Saya akan bincangkan mengenainya di suatu masa yang diizinkan Tuhan, insya Allah. Tidak dikenali umum itu bermaksud tidak mendedahkan diri kepada pandangan umum lelaki ajnabi. Bagi saya, menjadi satu kebanggaan bila dapat meminimumkan pandangan lelaki ajnabi pada diri saya. Meskipun saya ini biasa-biasa sahaja. Wanita itu sendiri sebenarnya aurat secara keseluruhannya. Oleh sebab itu, dalam blog ini pun saya cuba meminimumkan foto-foto saya kecuali ada keperluan. Saya masih mahu memelihara rasa malu saya. Pun begitu, memahami prinsip asas aurat wanita seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Sesuai dengan prinsip purdah itu sendiri yang hukum asalnya menurut majoriti fuqaha’ bukan wajib. Ada sesetengah fuqaha’ mengatakan ia wajib. Maka saya akan membuka purdah dalam situasi yang harus saya berbuat demikian. Sebagai contoh semasa menghadiri perbicaraan di mahkamah (semasa membuat kajian amalan di mahkamah sivil untuk disertasi sarjana). Saya buka purdah semasa berada dalam dewan mahkamah. Semasa menunggu diluar ‘court’ saya tetap memakai purdah. Saya juga membuka purdah ketika masuk ke bilik pengetua untuk memperkenalkan diri di sekolah yang pernah saya mengajar dahulu. Dalam pengalaman bermusafir, saya dilayan baik semasa ke Bangkok. Meskipun sangat sukar mencari muslimah berpurdah di sana. Semenjak saya memakai purdah, hanya dua tempat yang saya membuka terus purdah saya yakni semasa menunaikan haji dan semasa ke Sydney. Di Mekah, saya membuka purdah semasa dalam ihram. Itu pun ada pelajar lelaki yang komen kenapa dibuka walhal saya berpurdah. Komen belakang-belakang. Semasa ke Sydney, saya buka purdah sebaik menjejakkan kaki dalam flight KL-Sydney dan memakainya semula selepas keluar dari flight Sydney-KL. Saya mengambil kira situasi tekanan kepada ummat Islam di peringkat antarabangsa dan masyarakat di sana. Jadi saya memilih mengamalkan perkara minimum dalam menutup aurat. Alhamdulillah, saya istiqamah dengan jubah dan tudung labuh saya. Namun setelah berada di Sydney, ramai juga warga Arab yang memakai purdah. Mungkin selepas ini, jika berpeluang ke Sydney lagi saya akan memakai purdah di sana. Insya Allah.
TETAP AKTIF WALAUPUN BERPURDAH
Semasa belajar di APIUM, kedudukan kami dalam kelas ialah pelajar lelaki semuanya berada di barisan hadapan. Pelajar perempuan berada di barisan belakang dengan ada sedikit jarak di antara barisan kerusi pelajar lelaki dan barisan kerusi pelajar perempuan. Alhamdulillah, saya dapat mengekalkan rasa malu untuk membataskan pergaulan dengan lelaki ajnabi. Namun saya tidak menyekat tabiat yang suka bertanya sesuatu yang tidak difahami kepada guru yang mengajar. Dengan perkataan lain, saya tetap aktif di dalam kelas sama seperti saya aktif semasa bersekolah menengah dan juga di sekolah rendah. Kebanyakan guru memang ingat nama saya kerana saya suka bertanya. “Ainon, saya tidak dengar lagi suara awak hari ini,” seorang guru lelaki yang mengajar subjek Sains pernah menegur apabila tidak mendapat soalan dari saya. “Ainon, ada apa-apa nak tanya,” guru-guru lain pernah berkata bila saya membisu dari mengemukakan soalan. Kalau tiada soalan itu maknanya saya sudah faham semualah apa yang diajar. Itu pengalaman di sekolah menengah yang mana saya belum mengenakan purdah. Di AIUM, seorang guru lelaki berbangsa Cina mengingati nama saya lebih dari rakan-rakan saya yang majoriti tidak memakai purdah. Sudah tentu kerana saya aktif di dalam kelas. Untuk kelas Bahasa Inggeris itu, kedudukan pelajar perempuan dengan pelajar lelaki ialah sebelah menyebelah. Jadi saya sering duduk di saf hadapan dan dekat dengan guru. Saya memang suka saf hadapan bila belajar kerana saya dapat lebih fokus pada penerangan guru. Cukuplah dahulu catatan saya mengenai purdah untuk kali ini. Sedikit tazkirah buat muslimah yang berminat memakai purdah; Walaupun saya ada ceritakan mengenai wajah yang berseri di sebalik purdah, namun kita perlu ikhlas dalam memakainya semata-mata kerana Allah. Bukan kerana mahu wajah bertambah cantik berseri dan sebagainya. Wajah yang berseri hakikatnya datang dari hati yang bersih dari mazmumah dan mengisinya dengan mahmudah. Ditambah dengan zikrullah yang tidak putus-putus. Ia boleh dimiliki oleh muslimah yang tidak berpurdah sekalipun jika mereka membersihkan hati mereka. Juga oleh kaum lelaki yang menyucikan hati mereka. Muslimah berpurdah pula jika kurang menjaga kesucian hati, ia tetap memberi warna yang tidak baik pada peribadinya.
Wallahua’lam.
Ummu Abbas.
coelentrata: SUNGGUH kagum dengan mereka yang BERPURDAH,,,SUBHANALLAH,,,(^_^)